Theme Preview Rss

Doktor jangan terlalu kejar pendapatan

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pengamal perubatan terutama yang baru berkhidmat diingatkan supaya tidak terlalu mementingkan pendapatan lumayan sehingga lupa tanggungjawab memberi perkhidmatan terbaik.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, profesion doktor berbeza dengan bidang kerja lain kerana ia suatu tuntutan untuk membantu dan berikhtiar menyelamatkan nyawa manusia.

"Para doktor yang baru tamat belajar kena ingat dan semat dalam hati bahawa kerja ini bukan sekadar profesion semata-mata tetapi suatu tuntutan untuk membantu manusia yang memerlukan.

"Paling penting bukannya berapa pendapatan yang bakal diperoleh kelak tetapi berapa ramaikah manusia yang dapat dibantu dan diselamatkan nanti," katanya.

Beliau berucap selepas menerima Anugerah Kehormat Doktor Perubatan daripada Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) sempena konvokesyen ke-10 universiti berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Canselor dan Presiden IMU, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud dan Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman.

Dr. Mahathir juga sempat berseloroh menyatakan, anugerah itu bermakna lesen amalan perubatannya secara tidak langsung telah diperbaharui yang membolehkannya kembali merawat pesakit.

"Mungkin selepas ini saya boleh merawat pesakit tetapi saya nak ingatkan, amat berisiko memilih untuk menjadi pesakit saya kerana sudah terlalu lama meninggalkan profession ini, banyak yang sudah terlupa," katanya.

Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Dr. Mahathir diminta mengulas mengenai sikap sesetengah doktor yang menerima kerja di luar negara semata-mata kerana faktor gaji yang lebih tinggi.

Beliau berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu tetapi pada masa sama mengakui kekangan kewangan yang terpaksa ditanggung.

"Pihak yang terlibat kena ingat bahawa dia berhutang dengan kerajaan dan masyarakat yang membantu menyumbang ke arah persekitaran kondusif sehingga membolehkan mereka menamatkan pengajian dan berjaya menjadi doktor.

"Jika tinggal di negara yang tidak aman dan stabil dengan masyarakatnya selalu berpecah-belah, pasti tidak mampu menyumbang kepada persekitaran pembelajaran terbaik, jadi kena ingat anda sebahagian daripada masyarakat, oleh itu sumbanglah balik kepada mereka yang berbudi," katanya.-Utusan-

0 comments:

Post a Comment